Hidup ini sebagai tempat kita kumpul bekalan akhirat ^_^

Tuesday, February 26, 2013

Belajar itu IBADAH

(gambar hiasan)
“Dan (ingatlah) Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepadaKu.”
(Adz-Zaariyaat, 51:56)

Allah SWT menegaskan dalam firmanNya di atas tentang tujuan penciptaan manusia; untuk menyembahNya dan beribadah kepadaNya. Ini bermakna apa sahaja yang kita lakukan selain ibadah menjadi sia-sia lantaran tidak mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Indahnya Islam sehinggakan setiap pekerjaan yang kita lakukan walau sekecil-kecil perbuatan  seperti tidur pun dapat dikira sebagai ibadah. Tetapi kenapa kita masih gagal dalam belajar?

Hal ini kerana kita masih gagal untuk menghayati erti belajar sebagai satu bentuk ibadah, sedangkan belajar sudah menjadi salah satu rutin dalam kehidupan seharian kita. Alangkah ruginya kita! Ya! Sangat rugi kerana kita telah menghabiskan separuh hari kita dari 8 pagi hingga 6 petang di universiti untuk menghadiri kelas, ditambah lagi beberapa jam di rumah untuk menyelesaikan tugasan dan mengulangkaji, tetapi semua itu tidak diambil kira sebagai ibadah? Sekiranya kita adalah pelabur saham, kita adalah pelabur yang sentiasa rugi! Dan anda mahu ianya berterusan sampai bila-bila?

Untuk memastikan  belajar menjadi salah satu ibadah, terdapat beberapa syarat yang perlu kita patuhi:

  • Niat ikhlas kerana Allah SWT
  • Tidak melalaikan
  • Tiada unsur maksiat
  • Membawa natijah atau kesan yang baik
  • Lakukan yang terbaik!!

1. IKHLASKAN HATI BELAJAR KERANA ALLAH SWT

Tidak sama mereka yang belajar kerana kerana Allah dengan mereka yang belajar kerana ganjaran, pujian, anugerah dan sebagainya. Mereka yang belajar kerana Allah faham hakikat belajar dan tidak memerlukan sesiapa bagi mengingatkan mereka untuk mengulangkaji apatah lagi menyiapkan tugasan.

2. TIDAK MELALAIKAN

Apabila melakukan urusan seharian, janganlah sampai melanggar batas syariat. Islam membahagikan ibadah kepada dua kategori; ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji; serta ibadah umum seperti makan, bersukan, belajar, bekerja dan lain-lain.  Perlu difahami bahawa keutamaan melaksanakan ibadah khusus adalah mengatasi ibadah umum, dengan erti kata lain, sekiranya telah masuk waktu solat ketika kita sedang khusyuk mengulangkaji pelajaran untuk ujian esok hari contohnya, solat tetap menjadi keutamaan untuk dilaksanakan, tanpa perlu menunda-nunda hingga ke hujung waktu.

Jika kita amat-amati, perbuatan melaksanakan solat juga mampu membantu kita mendekati ciri-ciri peribadi Mukmin yang sebenar. Melaksanakan solat diawal waktu, seawal 15 minit pertama mampu menjadikan diri kita insan yang berdisiplin. Apa tidaknya,  dengan waktu solat yang berubah dengan pantas untuk negara empat musim, memerlukan kita ‘alert’ dengan perubahan waktu solat. Apatah lagi pada musim panas yang baru berlalu, waktu subuh boleh mencapai seawal empat pagi manakala di musim sejuk yang mula datang menyapa, pasti lebih selesa menarik selimut daripada membasahkan tubuh dengan air wudhuk!

Salah satu punca orang Islam gagal cemerlang adalah kerana kita tidak cukup faham dan menghayati apabila dikatakan hidup itu adalah ibadah. Seharusnya kita menunaikan tuntutan ibadah yang wajib dengan sesempurna mungkin supaya hidup kita mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Lebih cantik lagi apabila ibadah seperti solat dihiasi dengan solat-solat sunat seperti solat sunat rawatib ( sebelum dan selepas solat fardhu), dan solat sunat hajat, terutama apabila kita berhadapan dengan peperiksaan dan sebagainya.

Selain itu, setiap kali tibanya waktu solat, kita diingatkan untuk mengerjakan solat melalui seruan azan. Dalam azan itu sendiri terdapat seruan untuk menuju kejayaan! Nah, Islam sendiri menyeru supaya kita menjadi umat yang berjaya, bermakna setiap langkah kita untuk mengecapi kejayaan itu juga menjadi salah satu ibadah! Melalui apa? Melalui belajar!

Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): ["Apabila kamu melalui taman-taman syurga, hendaklah kamu ikut menikmatinya." Para sahabat bertanya, "Apakah taman-taman syurga itu wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "Itulah dia majlis zikir (ilmu). "] …..”Barang siapa menempuh suatu jalan bagi mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga.” (HR Muslim)

Makanya, kalau kita mahu berjaya, solat mesti diutamakan. Begitu mengecewakan apabila didapati lebih daripada 80 peratus pelajar sekolah tidak cukup solat lima waktu sehari, sedangkan solat adalah tiang agama dan doa pula adalah senjata bagi orang Mukmin. Bagaimana doa dapat dimakbulkan apabila kita tidak bersolat? Bagaimana Allah mahu memenuhi permintaan kita apabila kita tidak tunduk patuh pada perintah Allah? Bagaimana hati mahu tenang berhadapan dengan pelajaran apabila kita tidak mensyukuri nikmatNya dengan mendirikan solat?
(gambar hiasan)

3. JAUHI MAKSIAT

Maksiat menggelapkan hati dan membuatkan hidup kita jauh dari rahmat Allah SWT. Orang yang hidupnya bergelumang dengan maksiat sentiasa berada dalam keadaan resah gelisah, tertekan, runsing dan berserabut. Keadaan begini pastinya mengganggu tumpuan terhadap pelajaran, dan menyebabkan pelajar lambat faham, cepat lupa, tiada keberkatan dalam usaha dan jiwa sentiasa resah. Apabila kita meneliti di dada-dada akhbar, terlalu banyak gejala maksiat yang berlaku dalam kalangan remaja kita. Ianya sesuatu yang sangat membimbangkan dan mengecewakan.

4. LAKUKAN YANG TERBAIK

Soal mendapat ‘A’ ataupun tidak adalah soal kedua.Apa yang penting adalah berusaha bersungguh-sungguh dan lakukan yang terbaik. Cuba jawab soalan ini secara jujur:

  • Adakah anda melakukan yang TERBAIK selama ini bagi mendapat markah yang baik dalam peperiksaan?
  • Agak-agaknya dapat ataupun tidak anda memperbaiki lagi apa yang sudah anda usahakan selama ini?

Pasti ramai yang bersetuju bahawa anda masih belum melakukan yang terbaik, dan masih banyak ruang untuk memperbaiki diri. Inilah masalah kebanyakan pelajar. Apabila ditanya mengenai cita-cita dewasa kelak, masing-masing mempunyai cita-cita yang tinggi seperti doktor, jurutera, peguam, pensyarah dan sebagainya. Ironinya, jawapan yang sama ditemukan daripada pelajar nombor satu sehinggalah pelajar yang tercorot.

Kenapa begini? Ini adalah kerana naluri manusia yang sentiasa mengimpikan kesempurnaan dan yang terbaik. Persoalannya, mengapa kita tidak meletakkan usaha yang terbaik juga?
Allah menjelaskan melalui firmanNya di dalam Al-Qur’an, surah An-Najm, (53;39) yang bermaksud : “Dan tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”

Dalam surah Ar-Ra’du, (13;11), Allah ada menyebut : ” … Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri…”
(gambar hiasan)

Dalam mengejar kejayaan dalam pelajaran, anda perlu lakukan yang terbaik. Empat perkara penting yang perlu diingat dalam belajar adalah :

  • Usaha, iaitu melakukan yang terbaik
  • Tawakal, iaitu hak kita adalah usaha dan hak Allah menentukan segalanya
  • Doa supaya usaha yang dilakukan memberikan hasil yang memuaskan
  • Redha iaitu menerima apa sahaja hasilnya dengan hati yang terbuka.

Dalam berusaha, tidak ada erti penyesalan. Kita menyesal apabila kita melakukan dosa atau kesalahan. Tetapi penyesalan tidak sepatutnya wujud dalam berusaha. Tetapi mengapa masih ada pelajar yang mengeluh kesal? Kerap kali apabila keputusan peperiksaan diumumkan kita mendengar suara-suara keluhan pelajar yang tidak berpuas hati dengan hasil yang diperoleh. Pasti ada yang berkata, “Ish, kalaulah aku belajar lebih rajin, pasti aku mendapat keputusan yang lebih baik.” Keluhan sebegini menunjukkan seseorang itu belum melakukan yang terbaik lalu menyesal. Penyesalan berlaku kerana dia tidak melakukan yang terbaik dan dia tahu dia mampu melakukan dengan lebih baik untuk mendapatkan hasil yang lebih baik.  Apabila kita melakukan yang terbaik pasti kita reda dengan ketentuan Allah SWT.

Mungkin anda pernah mendengar mereka yang belajar sehingga lewat malam dan awal pagi namun hasilnya biasa-biasa sahaja. Hal ini kerana berusaha keras semata-mata bukanlah bermakna kita telah melakukan yang terbaik. Sebaliknya kita perlu tahu strategi dan teknik belajar yang efektif supaya usaha keras dan kesungguhan kita membuahkan hasil yang setimpal.

Dalam satu pertandingan lumba kuda di Las Vegas, kuda yang mendapat tempat pertama menerima hadiah wang tunai sebanyak USD$400,000. Kuda yang mendapat tempat kedua pula mendapat USD$150,000. Bermakna kuda pertama menerima hadiah hampir tiga kali ganda lebih berbanding kuda kedua. Adakah  ini bermakna kuda pertama tiga kali lebih kuat, lebih hebat ataupun lebih pantas berbanding kuda kedua? Sebenarnya tidak. Malah dalam beberapa siri lumba kuda, juara ditentukan selepas juri meneliti gambaran video gerak perlahan kerana kuda pertama hanya seinci sahaja di hadapan kuda kedua. Menakjubkan bagaimana hanya seinci perbezaan sahaja membawa  tiga kali ganda lebih besar.

Begitulah juga dalam belajar. Anda tidak perlu tiga kali ganda lebih pandai, lebih pintar, lebih rajin atau lebih genius untuk menjadi pelajar nombor satu. Apa yang perlu anda lakukan hanya lah perlu ada sedikit perbezaan sahaja berbanding mereka yang lain. Berbeza sedikit daripada segi tumpuan, masa belajar, motivasi diri, psikologi, pengambilan nota, cara mengingat dan lain-lain. Dengan perbezaan yang sedikit ini mampu menjadikan anda sebagai juara.

Malangnya, 80 peratus daripada mereka di luar sana mencipta pencapaian yang biasa dan 15 peratus hingga 20 peratus sahaja yang mencipta pencapaian yang luar biasa dan hanya 5 peratus sahaja yang menjadi terbilang atau outstanding. Jangan takut dilihat berbeza sedikit berbanding orang lain sebab mereka yang berjaya adalah mereka yang ‘DARE TO BE DIFFERENT!!’

(Diolah daripada: Motivasi Alihan Pelajar; Tengku Asmadi, Ph.D.)

No comments:

Post a Comment